Friday 29 March 2013

Forum Undang-Undang : Perlembagaan Malaysia - Satu Analisis Berkaitan PRU

Forum Undang-Undang : 
Perlembagaan Malaysia - Satu Analisis Berkaitan PRU




Beberapa persoalan penting akan dikupas dalam Forum Undang-Undang : "Perlembagaan Malaysia - Satu Analisis berkaitan PRU" anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia dan IKRAM Legal Team.


Pra Pilihan Raya:

1)Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen, setelah genap tempoh 5 tahun daripada tarikh pertama ia bersidang, maka ianya akan terbubar. Adakah peruntukkan ini  membawa maksud satu pembubaran wajib automatik atau ianya boleh sekadar menjadi luput sehingga satu tindakan pembubaran dilaksanakan oleh Yang Dipertuan Agong?

2)Perkara 55 (4) memperuntukkan apabila Parlimen bubar, suatu pilihanraya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar. Adakah peruntukan ini turut terpakai kepada kes pembubaran automatik?

3)Apabila suatu Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, selain daripada pembuat undang-undang (legislature) adakah eksekutif dan kehakiman turut tidak berfungsi?

4)Sekiranya kompenen eksekutif tidak berfungsi setelah Parlimen atau Dewan Undangan Negeri terbubar, adakah kerajaan atau kabinet masih boleh berfungsi?

5)Jika sekiranya kerajaan tidak boleh berfungsi, adakah perlantikan ‘care taker’ bagi kerajaan perlu dibuat secara jelas dan rasmi oleh YDPA atau secara amalannya, kerajaan sedia ada secara automatik berfungsi sebagai ‘care taker’?

6) Setelah mana-mana ‘care taker’ ditentukan secara sah dan teratur, apakah batasan-batasan kuasa asas yang ada pada ‘care taker’ tersebut?


b)    Pasca Pilihanraya

1)Di Malaysia, boleh dikatakan wujud sistem kerajaan dua parti iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Di dalam situasi ini, boleh berlaku keadaan dimana tiada salah satu daripada dua pakatan ini (coalition) mampu memperolehi majoriti mutlak dalam kerusi Parlimen di dalam konteks ini, adalah penggubal undang-undang (legislature). Di sini, akan tercetus keadaan apa yang disebut sebagai ‘hung parliament’, ‘balanced parliament’ atau parlimen dibawah ‘no overall control’. Adakah situasi ini boleh membawa kepada satu krisis perlembagaan yang boleh membawa kepada senario yang paling teruk iaitu pembubaran parlimen dan satu pilihan raya baru terpaksa diadakan?

2)Di dalam keadaan dimana salah satu parti atau pakatan parti-parti gagal untuk memperolehi majoriti di dalam parlimen, maka boleh wujud keadaan dimana satu-satu parti atau pakatan parti gagal untuk menguasai parlimen. Di dalam keadaan ini, kami berpendapat bahawa kuasa penentuan sesuatu usul tidak lagi terletak kepada salah satu parti atau pakatan parti tetapi kuasa penentuan tersebut terletak sepenuhnya di bawah kuasa penentuan setiap ahli parlimen. Mengambil kira faktor ini dan juga faktor kepelbagaian agama dan kaum, apakah mungkin berlaku satu cabaran (challenge) terhadap perkara-perkara yang diberikan kedudukan istimewa di dalam set up perlembagaan iaitu agama Islam, keistimewaan orang Melayu dan juga ketuanan raja-raja Melayu?


Admin InfoLegalPRU

Thursday 14 March 2013

Hari Penamaan Calon

Hari Penamaan Calon




NOTIS


1. Setelah pengeluaran Notis (Borang 2 dan 2A) oleh SPR, maka ditetapkan tarikh Hari Penamaan Calon dan Hari Mengundi

2. PP di setiap bahagian Pilihan Raya akan mengeluarkan Notis untuk memilih Calon (Borang 3)

3. Orang yang berkelayakan mempunyai masa sekurang-kurangnya 4 hari untuk menyediakan Kertas Penamaan dan dokumen-dokumen yang berkaitan


KERTAS PENAMAAN


4. Kertas Penamaan hendaklah di dalam Borang 4 untuk pilihan raya Dewan Rakyat dan Borang 4A untuk pilihan raya Dewan Undangan Negeri

5. Setiap Calon hendaklah hendaklah menyerahkan Kertas Penamaannya dalam satu salinan

6. Kertas Penamaan boleh diperolehi dengan bayaran RM20.00 bagi setiap satu yang mengandungi Borang 4 dan Borang 5 atau Borang 4A dan Borang 5A daripada Pejabat Pegawai Pengurus, Pengarah Pilihan Raya atau Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya


PUSAT PENAMAAN CALON


7. Pusat Penamaan Calon ditentukan dalam Notis (Borang 3) yang dikeluarkan oleh PP

8. Penamaan seseorang sebagai Calon dalam satu-satu Bahagian Pilihan Raya akan diterima hanya di pusat-pusat yang ditentukan dan dinyatakan dalam Notis bagi Bahagian Pilihan Raya tersebut

9. Kertas Penamaan yang dikemukakan bagi Bahagian Pilihan Raya selain dari Bahagian Pilihan Raya yang dimaksudkan tidak akan diterima


MASA UNTUK MENYERAHKAN KERTAS PENAMAAN CALON


10. Kertas-kertas penamaan Calon hendaklah diserahkan antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada Hari Penamaan Calon

11. PP tidak boleh menerima Kertas Penamaan sebelum, atau selepas masa yang ditetapkan

12. Bakal Calon dinasihatkan agar memberi perhatian penting kepada tempoh masa yang ditetapkan dan mengemukakan Kertas Penamaan dalam tempoh masa tersebut


CARA PENYERAHAN KERTAS PENAMAAN CALON


13. Kertas Penamaan boleh diserahkan kepada PP oleh Calon, Pencadang dan Penyokongnya atau dua orang dari mereka atau salah seorang daripada mereka

14. Kertas Penamaan Calon hendaklah diserahkan dalam satu salinan berserta dengan Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A) dan melampirkan deposit atau resit deposit (Peraturan 4(7) dan Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981

15. Kegagalan mematuhi boleh menyebabkan Kertas Penamaan Calon tidak diterima

16. Pada Hari Penamaan Calon, kawasan 50 meter dari Pusat Penamaan Calon ialah kawasan larangan

17. Tiada seorangpun melainkan yang disebut dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, kecuali Ahli-Ahli SPR, Pegawai-Pegawai Kanan SPR dan kakitangan yang bertugas, serta mereka yang mendapat kebenaran bertulis daripada SPR


PERKARA PENTING BERKAITAN PENCALONAN


18. Nama Bahagian Pilihan Raya (Parlimen dan Negeri)

- tulis nama Bahagian Pilihan Raya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dengan betul dalam Borang 3


19. Nama Calon dan Nombor Kad Pengenalan

- tulis nama mengikut Kad Pengenalan


20. Pekerjaan

- Isi jika berkaitan


21. Alamat

- Calon Parlimen - alamat tempat tinggal di mana-mana tempat di Malaysia

- Calon DUN - alamat tempat tinggal di dalam negeri berkenaan

- alamat surat-menyurat bagi memudahkan hubungan antara PP dan Calon


22. Maklumat Pencadang dan Penyokong

- Calon Parlimen - Pencadang dan Penyokong  hendaklah terdiri dari pemilih berdaftar di dalam Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang berkenaan dan tandatangan Borang 4

- Calon DUN - Pencadang dan Penyokong hendaklah terdiri daripada Pemilih Berdaftar di dalam Bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri bagi negeri berkenaan dan tandatangan Borang 4A


23. Persetujuan Calon


24. Akuan Berkanun ('Statutory Declaration')

- Borang 5 atau Borang 5A hendaklah diserahkan bersama-sama Borang 4, jika tiada, maka Kertas Penamaan tidak lengkap dan tidak diterima oleh PP

- Akuan Berkanun hendaklah dibuat di hadapan sama ada Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Pesuruh jaya Sumpah, PPN atau PP daerah berkenaan


25. Deposit

- Pilihan Raya Parlimen - RM10,000-00

- Pilihan Raya DUN - RM5,000-00

- tanpa wang deposit maka Kertas Penamaan dianggap sebagai tidak lengkap dan tidak diterima

- wang deposit boleh dibayar secara tunai atau bank deraf kepada PP semasa menyerahkan Kertas Penamaan atau membayar deposit tersebut di Pejabat Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan dan pastikan menerima resit bayaran deposit itu untuk dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon kepada PP


26. Calon dikehendaki memberi perhatian berat terhadap cara mengisi Kertas Penamaan Calon

Rujuk cara mengisi borang-borang di http://boranginfolegalpru.blogspot.com/2013/03/borang-berkaitan-proses-pru.html

27. Pembetulan Kertas Penamaan Calon

- PP mempunyai kuasa untuk menyemak Kertas Penamaan Calon antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi dan menasihati Calon atau wakilnya untuk membuat pembetulan sekiranya terdapat kesilapan

- Pembetulan tidak dibenarkan selepas jam 10.00 pagi

- Pembetulan dibenarkan dibuat di hadapan PP di Pusat Penamaan Calon sahaja dan tidak dibenarkan untuk membawa keluar Kertas Penamaan Calon dari Pusat Penamaan Calon


28. Penarikan Kertas Penamaan Calon sebelum Penamaan Calon ditutup

- Bakal Calon yang ingin menarik balik pencalonannya selepas menyerahkan Kertas Penamaan boleh berbuat demikian pada bila-bila masa sebelum jam 10.00 pagi pada Hari Penamaan Calon dan wang deposit akan dikembalikan

- Bakal Calon yang ingin menarik balik penamaannya diwajibkan mengemukakan sendiri permohonan berkenaan kepada PP


29. Pemeriksaan oleh PP terhadap Kertas Penamaan Calon

- Selepas jam 10.00 pagi PP akan memeriksa Kertas Penamaan untuk menentukan kelayakan Calon

29. Keputusan terhadap Kelayakan Calon

- PP akan meneliti setiap kelayakan Calon dan memutuskan sama ada pencalonan sah atau ditolak
- Keputusan PP adalah muktamad
- Sesiapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan PP boleh kemukakan Petisyen Pilihan Raya selepas keputusan Pilihan Raya berkenaan diwartakan - Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan



Wednesday 13 March 2013

Kempen Pilihanraya - Apa yang perlu anda tahu

Kempen Pilihanraya - Apa yang perlu anda tahu



Bentuk Kempen : penyebaran bahan-bahan bercetak seperti poster, risalah, surat sebaran (handbills), pelekat atau kempen tertutup, memancing undi dari rumah ke rumah.

Undang-undang pilihanraya tidak memperuntukkan sebarang arahan tertentu terhadap bentuk kempen yang dibenarkan. Akan tetapi, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menentukan jenis-jenis hukuman ke atas kesalahan yang dilakukan semasa tempoh kempen.

Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-PKR) akan memantau dan mengambil tindakan ke atas bahan kempen dan ceramah/syarahan yang melanggar AKP semasa tempoh kempen hingga tamat pengundian.

Calon dinasihatkan tidak membuat kenyataan bersifat peribadi dan menjatuhkan maruah Calon lain. Calon, ejen dan penyokong tidak menyentuh soal agama, isu perkauman atau kedudukan bahasa yang bertujuan menimbulkan perasaan permusuhan atau kebencian antara kaum atau masyarakat.

Pengawalan ke atas Pencetakan dan Penerbitan Risalah Pilihan Raya : Calon dinasihatkan agar memberi perhatian terhadap Akta Mesin Cetak 1984 yang melibatkan pencetakan atau penerbitan risalah.


Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
Akta Mesin Cetak (Pindaan) 2012


Contoh Kesalahan :

  • Seksyen 11(1)(c) AKP 1954
    • Mencetak, menerbit, mengedar/tampal iklan, surat khabar, pelekat/poster berkenaan pilihan raya tanpa pada mukanya terdapat nama dan alamat pencetak atau penerbit
  • Seksyen 11(1)(d) AKP 1954
    • Membuat/menerbit pernyataan palsu mengenai watak/kelakuan peribadi calon bagi mempengaruhi supaya calon dipilih
  • Seksyen 11(1)(e) AKP 1954
    • Membuat/menerbit pernyataan palsu mengenai penarikan diri seseorang calon bagi maksud menganjur dan mendapatkan calon dipilih
Hukuman - Seksyen 11(1)

Kesalahan di bawah seksyen 11(1)(a) dan (b) ialah penjara tidak lebih 2 tahun dan denda tidak kurang RM1000 dan tidak lebih RM5000

Kesalahan lain - Penjara tidak lebih 1 tahun dan denda tidak lebih RM2000

Boleh tangkap tanpa waran

Boleh jamin (bailable)

Tidak perlu OTI

Perlu sanksi kecuali kesalahan di bawah seksyen 11(1)(d) dan (e)


Apakah contoh kesalahan lain berkait dengan pengedaran risalah?


Akta Hasutan 1948

  • seksyen 4(1)(c) : mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula apa-apa penerbitan menghasut

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

  • seksyen 11 : dokumen bercetak mengandungi nama pencetak dan penerbit

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954

  • seksyen 4A : kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan


Info Bahan Kempen :



Parlimen bubar?

Parlimen bubar?

Bagaimana proses selepas pembubaran parlimen?



Sunday 10 March 2013

Cara Mengundi






CARA MENGUNDI


Peraturan 19 dan 19A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya)
(Pindaan) 2012


1. Anda sebagai pengundi akan diberikan dengan satu kertas undi;

2. Apabila anda meminta kertas undi, nombor dan nama anda sebagai pengundi sepertimana yang dinyatakan di dalam daftar pemilih akan dilaungkan (called out);

3. Sebelum kertas undi dikeluarkan kepada anda, suatu tanda hendaklah dibuat dalam daftar pemilih terhadap nombor dan nama anda untuk menunjukkan bahawa satu kertas undi telah dikeluarkan kepada anda;

4. Anda dikehendaki menunjukkan jari telunjuk kiri anda supaya dapat dipastikan bahawa tiada dakwat kekal telah ditandakan pada jari telunjuk kiri anda;

5. Sekiranya ketua tempat mengundi mendapati anda enggan menunjukkan jari telunjuk kiri anda supaya dipastikan tiada dakwat kekal padanya, keengganan anda tersebut akan direkodkan dan tiada kertas undi akan dikeluarkan kepada anda;

6. Setelah ketua tempat mengundi (presiding officer) atau mana-mana orang yang bertindak di bawah kuasanya berpuashati bahawa tiada tanda dibuat pada nombor dan nama anda dalam daftar pemilih dan tiada dakwat kekal telah ditandakan pada jari telunjuk kiri anda, ketua tempat mengundi hendaklah membuat tanda pada jari telunjuk kiri anda dengan menggunakan dakwat kekal dan seterusnya ketua tempat mengundi akan mengeluarkan kertas undi kepada anda;

7. Sekiranya ketua tempat mengundi mendapati anda enggan telunjuk kiri anda ditandakan, keengganan anda tersebut akan direkodkan dan tiada kertas undi akan dikeluarkan kepada anda;

8. Kertas undi itu akan ditindikkan atau dicap dengan tanda rasmi atau ditandatangani secara ringkas oleh ketua tempat mengundi disebelah tepi  kertas undi itu dan akan kemudiannya dikeluarkan kepada anda;

9. Apabila anda menerima kertas undi, anda hendaklah dengan serta merta pergi ke satu tempat dalam tempat mengundi itu sebagaimana yang ditunjukkan oleh ketua tempat mengundi itu dan anda hendaklah secara rahsia menandakan kertas undi itu mengikut arahan -arahan yang diberikan bagi panduan pengundi;

10. Anda hendaklah kemudiannya melipat kertas undi itu untuk merahsiakan tandanya dan hendaklah memasukkan kertas undi itu ke dalam peti undi dan, tanpa kelengahan yang tidak wajar hendaklah kemudiannya dengan serta merta meninggalkan tempat mengundi itu;

11. Sekiranya difikirkan patut, ketua tempat mengundi boleh bertanya kepada anda sama ada anda faham dan atas permintaan anda, ketua tempat mengundi tersebut boleh menerangkan cara mengundi kepada anda dalam pendengaran ejen tempat mengundi (polling agent) yang mana ketua mengundi tersebut tidak boleh membuat apa-apa yang dikira sebagai nasihat atau arahan untuk mengundi calon-calon tertentu.

12. Sekiranya anda tidak berdaya mengikuti cara yang ditetapkan ini disebabkan oleh buta atau kecactan fizikal yang lain, anda boleh membuat permintaan supaya orang lain yang anda namakan atau ketua tempat mengundi tersebut menandakan kertas undi mengikut arahan anda dan memasukkan kertas undi ke dalam peti undi. Di dalam kes ini, orang anda namakan itu perlu membuat satu akuan melalui Borang 10.

Thursday 7 March 2013

Perlembagaan Persekutuan



Perlembagaan Persekutuan Malaysia

Perkara yang berkait dengan pilihanraya umum Malaysia ialah :

Perkara 113. Penjalanan pilihan raya.
Perkara 114. Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Perkara 115. Bantuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
Perkara 116. Bahagian pilihan raya persekutuan.
Perkara 117. Bahagian pilihan raya Negeri.
Perkara 118. Cara mencabar pemilihan.
Perkara 118A. Cara mempersoalkan petisyen pilihan raya mengenai tidak adanya pemilihan.
Perkara 119. Kelayakan pemilih.
Perkara 120. Pemilihan terus ke Dewan Negara.

INFOLEGALPRU



Para pengunjung yang dihormati,

Blog INFOLEGALPRU memuatkan info perundangan yang melibatkan pilihanraya umum di Malaysia. Ini diharapkan dapat membantu pihak-pihak yang terlibat dalam pilihanraya umum dan juga sebagai maklumat asas kepada masyarakat awam di Malaysia.

Bagi melancarkan perjalanan pilihanraya umum di Malaysia, beberapa undang-undang dan peraturan-peraturan telah digubal, antaranya :

1. Perlembagaan Persekutuan
2. Perlembagaan Negeri
3. Akta Suruhanjaya Pilihanraya 1957
4. Akta Pilihanraya 1958 (Akta 19)
5. Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5)
6. Akta Suruhanjaya Pilihanraya 1957
7. Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981
8. Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pendaftaran Pemilih) 2002
9. Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003
10. Akta Polis
11. Akta Hasutan
12. Kanun Keseksaan
13. Kanun Prosedur Jenayah




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...