Wednesday, 24 April 2013

Ejen Tempat Mengundi (ETM) Bagi Pengundian Awal




Ejen Tempat Mengundi (ETM) Bagi Pengundian Awal


Ejen Tempat Mengundi (ETM) yang mewakili Calon yang bertanding, mereka dibenarkan hadir untuk menyaksikan proses pengundian awal di Tempat Mengundi (Saluran). Setiap ETM hendaklah dilantik oleh Calon atau Ejen Pilihan Raya masing-masing. 

Mereka perlu mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan kepada Ketua Tempat Mengundi di Tempat Mengundi (Saluran) masing-masing untuk semakan dan pengesahan oleh Ketua Tempat Mengundi sebelum dibenarkan masuk untuk bertugas. 

Dokumen-dokumen tersebut adalah seperti yang berikut:

a) Dokumen Kad Pengenalan diri yang mengandungi nama, No.Kad Pengenalan dan gambar seperti Kad Pengenalan atau MyKad.

b) Surat pelantikan sebagai Ejen Tempat Mengundi (ETM) yang ditandatangani oleh Calon atau Ejen Pilihan Raya(EPR).

c) Borang Sumpah Kerahsiaan (BORANG A) yang telah lengkap disempurnakan.

Nota: ETM tidak dibenarkan masuk untuk bertugas di Tempat Mengundi (Saluran) semasa proses pengundian awal jika tidak membawa salah satu dokumen yang disebutkan di atas.

ETM yang dibenarkan masuk bertugas di Tempat Mengundi (Saluran) untuk menyaksikan proses pengundian awal perlu membawa salinan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) sendiri yang diperoleh daripada Calon ataupun Ejen Pilihan Raya masing-masing. 

Mengikut peruntukan Subperaturan 15(4) dan (5) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Subseksyen 14 (1A) Akta Kesalahan pilihan Raya 1954, ETM dibenarkan bertugas secara bergilir-gilir sekurang-kurangnya dua jam sebelum ETM baru dibenarkan masuk menggantikannya (jika perlu).

Proses pengundian awal yang disaksikan oleh ETM ialah proses pemeteraian Peti Undi oleh Ketua Tempat Mengundi dan Kerani Pengundian yang dibuat sekurang-kurangnya 10 minit sebelum Pengundian Awal dimulakan; Proses Pengesahan Identiti Pengundi- pengundi yang datang untuk mengundi; Proses mencalitkan Dakwat Kekal; Proses pengeluaran kertas undi; Proses Pengundian dan Proses Pemeteraian Peti Undi setelah Pusat-pusat Mengundi atau Tempat- tempat Mengundi (Saluran) ditutup. 

ETM boleh menurunkan tandatangan pada perekat keselamatan Peti Undi dan sampul-sampul (jika ingin berbuat demikian).

ETM TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI mengganggu tugas Ketua Tempat Mengundi atau Kerani Pengundian atau menghalang mana-mana pengundi daripada mengundi jika identiti pengundi berkenaan telah disahkan betul. Sebarang bantahan oleh ETM hanya boleh dibuat secara bertulis dan diserahkan kepada Ketua Tempat Mengundi. 

Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Ketua Tempat Mengundi terhadap bantahan (bertulis) daripada ETM adalah MUKTAMAD. Jika ETM tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Tempat Mengundi, mereka boleh mengambil tindakan melalui petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya diwartakan.

Ketua Tempat Mengundi hendaklah memeteraikan Peti Undi Parlimen dan Peti Undi Negeri sekurang-kurangnya 10 minit sebelum jam 8.00 pagi sebelum proses Pengundian Awal bermula.

Ketua Tempat Mengundi hendaklah memastikan semua peralatan, kelengkapan, Buku Panduan, Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi Tempat Mengundi (Saluran) berkenaan serta buku Kertas Undi tersedia seperti yang diperlukan. 




Persediaan dan Tugas Pengundi Awal



Persediaan dan Tugas Pengundi Awal



Setiap pengundi yang akan mengundi pada Hari Mengundi Awal hendaklah membawa salah satu dokumen pengenalan diri yang mengandungi nama, No. Kad Pengenalan dan gambar seperti yang berikut:

a)  Kad Perkhidmatan bagi anggota tentera dan PDRM atau Kad Pengenalan atau MyKad; atau
b)  Resit Pengenalan Sementara (JPN KP09); atau
c)  Resit Kehilangan Kad Pengenalan (JPN KP11) yang disahkan oleh JPN; atau
d)  Pasport Antarabangsa; atau
e)  Lesen Memandu yang mengandungi Nama, No. Kad Pengenalan dan gambar; atau
f)  Kad Kuasa Jabatan yang mengandungi Nama, No. Kad Pengenalan dan gambar.

Membuat semakan nama, nombor Tempat Mengundi (Saluran) dan Pusat Mengundi di Barung SPR pada Hari Mengundi Awal jika semakan awal tidak dibuat sebelumnya sama ada melalui Pejabat Pengarah Pilihan Raya (PPN) atau Laman Sesawang SPR atau pejabat Pegawai Pengurus atau melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Mendapat satu kertas undi bagi Parlimen dan satu kertas undi bagi Negeri (jika pilihan raya serentak) daripada petugas-petugas SPR di Pusat Mengundi atau di Tempat Mengundi (Saluran) di mana nama pengundi disenaraikan dalam Senarai Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pengundian Awal.

Menyerahkan dokumen Kad Pengenalan diri kepada Kerani Pengundian untuk tujuan pengesahan dan membenarkan Kerani Pengundian menyemak tanda atau calitan Dakwat Kekal pada jari telunjuk kiri untuk pengesahan sebelum mengundi dan pengundi bersetuju untuk dicalitkan dengan Dakwat Kekal pada jari telunjuk kiri sebelum kertas undi dikeluarkan.

Menandakan sama ada “X” atau “√” pada ruang yang disediakan dalam Kertas Undi di dalam Petak Mengundi, seterusnya melipat dua kali Kertas Undi dan memasukkan kertas undi yang telah ditandakan ke dalam Peti Undi yang disediakan mengikut Peti Undi bagi Parlimen dan Peti Undi bagi Negeri. 


Hari Mengundi Awal




  1. Hari Mengundi Awal


    Hari Mengundi Awal akan ditetapkan oleh SPR berdasarkan Peraturan 3(1A) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 iaitu tidak kurang daripada tujuh hari selepas Hari Penamaan Calon dan tidak kurang daripada tiga hari sebelum dari tarikh atau tarikh-tarikh Hari Mengundi Biasa. 

    Masa mengundi dan Hari Mengundi Awal akan diwartakan oleh SPR. Pengundian akan bermula tepat jam 8.00 pagi hingga 7.00 petang kecuali bagi Pusat-Pusat Mengundi Awal dan Tempat-Tempat Mengundi (Saluran) yang jumlah pemilihnya tidak ramai iaitu 50 orang atau kurang. Bagi kategori ini masa mengundi akan dimulakan dari jam 8.00 pagi sehingga jam 2.00 petang. 


    Proses Pengundian Awal


    1. Proses pengundian awal adalah sama dengan proses pengundian biasa iaitu melibatkan Kertas Undi, peti undi dan ianya dijalankan di Pusat-pusat Mengundi atau Tempat-tempat Mengundi (Saluran) masing-masing seperti yang telah ditetapkan. 

    2. Proses pengundian awal akan dikendalikan oleh Ketua Tempat Mengundi dan beberapa orang Kerani Pengundian di Pusat Mengundi yang telah ditetapkan sama ada di kem-kem tentera bagi anggota tentera dan pasangan atau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen/ Ibu Pejabat Polis Daerah bagi anggota Polis dan isteri atau suami kepada pegawai polis yang berkhidmat dengan Pasukan Gerakan Am. 

    3. Setiap pengundi perlu menunjukkan Kad Perkhidmatan/Kad Pengenalan kepada petugas di Tempat Mengundi (Saluran) untuk tujuan pengesahan sebelum tindakan seterusnya diambil. 

    4. Setiap pengundi adalah diwajibkan dicalitkan Dakwat Kekal pada jari telunjuk kiri mereka sebelum kertas undi dikeluarkan kepada pengundi berkenaan. Jika pengundi enggan jari telunjuk kiri dicalitkan dengan Dakwat Kekal, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepadanya oleh Ketua Tempat Mengundi. 

Tuesday, 16 April 2013

Panduan Mengisi Kertas Penamaan - Buku Panduan Calon

Panduan Mengisi Kertas Penamaan - Buku Panduan Calon


1. Pencalonan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri

Sekiranya pencalonan itu adalah untuk pilihan raya Dewan Rakyat, bakal Calon hendaklah menggunakan Borang 4 dan jika untuk pilihan raya Dewan Undangan Negeri, Borang 4A hendaklah digunakan. Kertas penamaan Calon hendaklah diserahkan dalam satu salinan asal. 


2. Nama Bahagian Pilihanraya


Ruangan yang berkaitan dengan Bahagian Pilihan Raya hendaklah diisi dengan betul. Bakal Calon hendaklah menyemak notis yang dikeluarkan oleh PP untuk memastikan nama Bahagian Pilihan Raya yang ingin ditandingi. Sebagai contoh, sekiranya Bahagian Pilihan Raya yang ingin ditandingi ialah “Lembah Pantai”, bakal Calon janganlah hanya menulis perkataan “Lembah” atau “Pantai” sahaja kerana ini tidak lengkap dan mengelirukan. Adalah penting bagi bakal Calon mengetahui bahawa terdapat nombor kod Bahagian Pilihan Raya yang tercatat sebelum nama setiap Bahagian Pilihan Raya, iaitu di dahului dengan huruf N bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri dan P untuk Bahagian Pilihan Raya Parlimen. Contohnya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Putrajaya ditulis “P.125 PUTRAJAYA” dan bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri Rawang ditulis “N. 14 RAWANG”. 


3. Nama Calon

Nama bakal Calon hendaklah diisi dengan betul. Bakal Calon dinasihati supaya menulis nama seperti yang terdapat dalam Kad Pengenalan/MyKad. Jangan masukkan nama-nama gelaran. Sebagai contoh, jika nama bakal Calon itu “Chin Yam Pit”, jangan ditulis apa-apa nama gelaran seperti “Tiger Chin Yam Pit” atau sebagainya. Penggunaan gelaran-gelaran tidak rasmi seperti Tok Guru, Pak Lebai dan lain-lain tidak dibenarkan. Singkatan-singkatan anugerah kebesaran dan kelulusan akademik yang terdapat selepas nama seseorang seperti KMN., Ph.D., MA., dan lain-lain tidak juga dibenarkan. 

Walau bagaimanapun, seseorang Calon boleh menggunakan gelaran-gelaran rasmi seperti Tun, Tan Sri, Datuk Paduka, Datuk Setia, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk/Dato, Dr., Haji dan lain-lain, dengan syarat nama asalnya dikekalkan. Sebagai contoh “HJ. AB. RASHID BIN AB. RAHMAN” boleh menggunakan nama “ TAN SRI HJ. AB. RASHID BIN AB. RAHMAN “ sekiranya calon berkenaan dikurnia gelaran Tan Sri. 


4. No Kad Pengenalan


Adalah menjadi tanggungjawab PP untuk menyemak Kad Pengenalan atau MyKad atau Resit Pengenalan Sementara (Borang JPN KPPK 09) bagi mengesahkan pengenalan seseorang Calon. Sekiranya seseorang Calon, kerana sesuatu sebab, tidak mempunyai Kad Pengenalan yang sah, dia bolehlah menggunakan dokumen yang lain seperti Pasport Antarabangsa Malaysia, Resit Kehilangan Kad Pengenalan (Borang JPN KPPK 11) yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, Lesen Memandu yang bergambar ataupun Kad Pengenalan rasmi/kad kuasa bergambar yang dikeluarkan di bawah kuasa sesebuah organisasi rasmi yang menerangkan dengan jelas perihal seseorang Calon dan nombor kad pengenalannya. Bagi pemegang Kad Pengenalan lama Negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung, huruf-huruf H, K dan A hendaklah dicatatkan sebelum nombor kad pengenalan jika huruf-huruf tersebut terdapat dalam Kad Pengenalan berkenaan.


5. Nama-Nama Lain


Bakal Calon dinasihati supaya menulis nama-nama lain dalam ruangan berkenaan sekiranya ada. Jika tiada nama-nama lain, bakal Calon hendaklah menuliskan perkataan ‘tiada’. Bakal Calon dibolehkan mengisi ruangan ini dengan nama-nama lain yang tidak tercatat secara rasmi dalam Kad Pengenalan. Misalnya, jika bakal Calon itu baru sahaja memeluk agama Islam, dia mungkin mahukan nama Islam digunakan dalam ruangan nama-nama lain sungguhpun nama berkenaan tidak dicatat dalam Kad Pengenalan.


6. Pekerjaan


Taraf pekerjaan seseorang Calon itu mestilah dijelaskan dalam ruangan yang disediakan. Sekiranya bakal Calon ahli perniagaan, maka perkataan “ahli perniagaan” atau “peniaga” hendaklah dimasukkan dalam ruangan ini. Sekiranya bakal Calon tidak mempunyai apa-apa pekerjaan, ruangan ini hendaklah diisi dengan perkataan ‘tiada kerja’ atau ‘tiada’.


7. Alamat Tempat Tinggal


Bakal Calon diingatkan supaya mengisi ruangan ini dengan jelas. Sekiranya dia ingin bertanding dalam Bahagian Pilihan Raya Parlimen, mana- mana alamat di Malaysia boleh dicatatkan. Sekiranya bakal Calon ingin bertanding dalam Bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri, alamat dalam Negeri yang berkenaan hendaklah dicatatkan.


8. Alamat Surat Menyurat

Bakal Calon juga dikehendaki mengisi ruangan alamat surat-menyurat dengan lengkap dan jelas bagi memudahkan PP menghubungi Calon selepas Hari Penamaan Calon.


9. Butir-Butir Pencadang dan Penyokong

Nama dan nombor Kad Pengenalan Pencadang dan Penyokong hendaklah diisi dalam ruangan yang disediakan. Tandatangan kedua-dua Pencadang dan Penyokong hendaklah diturunkan dalam ruangan yang disediakan. 


10. Nama Yang Hendak Dicetak Pada Kertas Undi


Bakal Calon hendaklah menulis dengan jelas nama yang hendak dicetak dalam kertas undi dalam ruangan yang disediakan.


11. Persetujuan Calon

Calon hendaklah menurunkan tandatangannya dalam ruangan yang disediakan di hadapan seorang saksi. 


12. Tandatangan Saksi

Dalam ruangan “Ditandatangani oleh Calon yang dinamakan........... adalah perlu diisikan nama saksi dalam ruangan yang disediakan.

Saksi mestilah menurunkan tandatangannya dan juga mengisikan alamat dan nombor Kad Pengenalan dalam ruangan yang disediakan dan menulis tarikh semasa ditandatangani. Kegagalan mengisi butir-butir tersebut boleh menyebabkan kertas penamaan ditolak. 

Hari Penamaan Calon - Apa perlu anda tahu?



Hari Penamaan Calon - Apa perlu anda tahu?



1) Hari Penamaan Calon, sila KLIK DI SINI

2) Writ/Notis Pilihanraya dan Kertas Penamaan, sila KLIK DI SINI

3) Panduan Mengisi Kertas Penamaan Calon, sila KLIK DI SINI

4) Ejen Pilihanraya, sila KLIK DI SINI


Admin InfoLegalPRU

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri




Dapatkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri berikut :

1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, sila KLIK DI SINI

2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, sila KLIK DI SINI

3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, sila KLIK DI SINI

4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sila KLIK DI SINI

5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, sila KLIK DI SINI

6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka, sila KLIK DI SINI

7) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, sila KLIK DI SINI

8) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, sila KLIK DI SINI

9) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, sila KLIK DI SINI

10) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu, sila KLIK DI SINI

11) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sila KLIK DI SINI

Admin InfoLegalPRU

Monday, 8 April 2013

Manual PRU 13

Manual PRU 13


Pihak IKRAM Legal Team (iLT) melangkah setapak lagi dengan menyediakan Manual PRU 13 untuk membantu para petugas PRU khususnya serta masyarakat Malaysia amnya. Harapan kami agar dengan adanya Manual PRU 13 ini maka dapat membantu para petugas mendapat info perundangan sebanyak mungkin bagi menghadapi PRU 13.




Untuk download keseluruhan fail KLIK DI SINI


Admin
InfoLegalPRU

Friday, 29 March 2013

Forum Undang-Undang : Perlembagaan Malaysia - Satu Analisis Berkaitan PRU

Forum Undang-Undang : 
Perlembagaan Malaysia - Satu Analisis Berkaitan PRU




Beberapa persoalan penting akan dikupas dalam Forum Undang-Undang : "Perlembagaan Malaysia - Satu Analisis berkaitan PRU" anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia dan IKRAM Legal Team.


Pra Pilihan Raya:

1)Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen, setelah genap tempoh 5 tahun daripada tarikh pertama ia bersidang, maka ianya akan terbubar. Adakah peruntukkan ini  membawa maksud satu pembubaran wajib automatik atau ianya boleh sekadar menjadi luput sehingga satu tindakan pembubaran dilaksanakan oleh Yang Dipertuan Agong?

2)Perkara 55 (4) memperuntukkan apabila Parlimen bubar, suatu pilihanraya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar. Adakah peruntukan ini turut terpakai kepada kes pembubaran automatik?

3)Apabila suatu Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, selain daripada pembuat undang-undang (legislature) adakah eksekutif dan kehakiman turut tidak berfungsi?

4)Sekiranya kompenen eksekutif tidak berfungsi setelah Parlimen atau Dewan Undangan Negeri terbubar, adakah kerajaan atau kabinet masih boleh berfungsi?

5)Jika sekiranya kerajaan tidak boleh berfungsi, adakah perlantikan ‘care taker’ bagi kerajaan perlu dibuat secara jelas dan rasmi oleh YDPA atau secara amalannya, kerajaan sedia ada secara automatik berfungsi sebagai ‘care taker’?

6) Setelah mana-mana ‘care taker’ ditentukan secara sah dan teratur, apakah batasan-batasan kuasa asas yang ada pada ‘care taker’ tersebut?


b)    Pasca Pilihanraya

1)Di Malaysia, boleh dikatakan wujud sistem kerajaan dua parti iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Di dalam situasi ini, boleh berlaku keadaan dimana tiada salah satu daripada dua pakatan ini (coalition) mampu memperolehi majoriti mutlak dalam kerusi Parlimen di dalam konteks ini, adalah penggubal undang-undang (legislature). Di sini, akan tercetus keadaan apa yang disebut sebagai ‘hung parliament’, ‘balanced parliament’ atau parlimen dibawah ‘no overall control’. Adakah situasi ini boleh membawa kepada satu krisis perlembagaan yang boleh membawa kepada senario yang paling teruk iaitu pembubaran parlimen dan satu pilihan raya baru terpaksa diadakan?

2)Di dalam keadaan dimana salah satu parti atau pakatan parti-parti gagal untuk memperolehi majoriti di dalam parlimen, maka boleh wujud keadaan dimana satu-satu parti atau pakatan parti gagal untuk menguasai parlimen. Di dalam keadaan ini, kami berpendapat bahawa kuasa penentuan sesuatu usul tidak lagi terletak kepada salah satu parti atau pakatan parti tetapi kuasa penentuan tersebut terletak sepenuhnya di bawah kuasa penentuan setiap ahli parlimen. Mengambil kira faktor ini dan juga faktor kepelbagaian agama dan kaum, apakah mungkin berlaku satu cabaran (challenge) terhadap perkara-perkara yang diberikan kedudukan istimewa di dalam set up perlembagaan iaitu agama Islam, keistimewaan orang Melayu dan juga ketuanan raja-raja Melayu?


Admin InfoLegalPRU

Thursday, 14 March 2013

Hari Penamaan Calon

Hari Penamaan Calon




NOTIS


1. Setelah pengeluaran Notis (Borang 2 dan 2A) oleh SPR, maka ditetapkan tarikh Hari Penamaan Calon dan Hari Mengundi

2. PP di setiap bahagian Pilihan Raya akan mengeluarkan Notis untuk memilih Calon (Borang 3)

3. Orang yang berkelayakan mempunyai masa sekurang-kurangnya 4 hari untuk menyediakan Kertas Penamaan dan dokumen-dokumen yang berkaitan


KERTAS PENAMAAN


4. Kertas Penamaan hendaklah di dalam Borang 4 untuk pilihan raya Dewan Rakyat dan Borang 4A untuk pilihan raya Dewan Undangan Negeri

5. Setiap Calon hendaklah hendaklah menyerahkan Kertas Penamaannya dalam satu salinan

6. Kertas Penamaan boleh diperolehi dengan bayaran RM20.00 bagi setiap satu yang mengandungi Borang 4 dan Borang 5 atau Borang 4A dan Borang 5A daripada Pejabat Pegawai Pengurus, Pengarah Pilihan Raya atau Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya


PUSAT PENAMAAN CALON


7. Pusat Penamaan Calon ditentukan dalam Notis (Borang 3) yang dikeluarkan oleh PP

8. Penamaan seseorang sebagai Calon dalam satu-satu Bahagian Pilihan Raya akan diterima hanya di pusat-pusat yang ditentukan dan dinyatakan dalam Notis bagi Bahagian Pilihan Raya tersebut

9. Kertas Penamaan yang dikemukakan bagi Bahagian Pilihan Raya selain dari Bahagian Pilihan Raya yang dimaksudkan tidak akan diterima


MASA UNTUK MENYERAHKAN KERTAS PENAMAAN CALON


10. Kertas-kertas penamaan Calon hendaklah diserahkan antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada Hari Penamaan Calon

11. PP tidak boleh menerima Kertas Penamaan sebelum, atau selepas masa yang ditetapkan

12. Bakal Calon dinasihatkan agar memberi perhatian penting kepada tempoh masa yang ditetapkan dan mengemukakan Kertas Penamaan dalam tempoh masa tersebut


CARA PENYERAHAN KERTAS PENAMAAN CALON


13. Kertas Penamaan boleh diserahkan kepada PP oleh Calon, Pencadang dan Penyokongnya atau dua orang dari mereka atau salah seorang daripada mereka

14. Kertas Penamaan Calon hendaklah diserahkan dalam satu salinan berserta dengan Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A) dan melampirkan deposit atau resit deposit (Peraturan 4(7) dan Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981

15. Kegagalan mematuhi boleh menyebabkan Kertas Penamaan Calon tidak diterima

16. Pada Hari Penamaan Calon, kawasan 50 meter dari Pusat Penamaan Calon ialah kawasan larangan

17. Tiada seorangpun melainkan yang disebut dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, kecuali Ahli-Ahli SPR, Pegawai-Pegawai Kanan SPR dan kakitangan yang bertugas, serta mereka yang mendapat kebenaran bertulis daripada SPR


PERKARA PENTING BERKAITAN PENCALONAN


18. Nama Bahagian Pilihan Raya (Parlimen dan Negeri)

- tulis nama Bahagian Pilihan Raya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dengan betul dalam Borang 3


19. Nama Calon dan Nombor Kad Pengenalan

- tulis nama mengikut Kad Pengenalan


20. Pekerjaan

- Isi jika berkaitan


21. Alamat

- Calon Parlimen - alamat tempat tinggal di mana-mana tempat di Malaysia

- Calon DUN - alamat tempat tinggal di dalam negeri berkenaan

- alamat surat-menyurat bagi memudahkan hubungan antara PP dan Calon


22. Maklumat Pencadang dan Penyokong

- Calon Parlimen - Pencadang dan Penyokong  hendaklah terdiri dari pemilih berdaftar di dalam Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang berkenaan dan tandatangan Borang 4

- Calon DUN - Pencadang dan Penyokong hendaklah terdiri daripada Pemilih Berdaftar di dalam Bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri bagi negeri berkenaan dan tandatangan Borang 4A


23. Persetujuan Calon


24. Akuan Berkanun ('Statutory Declaration')

- Borang 5 atau Borang 5A hendaklah diserahkan bersama-sama Borang 4, jika tiada, maka Kertas Penamaan tidak lengkap dan tidak diterima oleh PP

- Akuan Berkanun hendaklah dibuat di hadapan sama ada Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Pesuruh jaya Sumpah, PPN atau PP daerah berkenaan


25. Deposit

- Pilihan Raya Parlimen - RM10,000-00

- Pilihan Raya DUN - RM5,000-00

- tanpa wang deposit maka Kertas Penamaan dianggap sebagai tidak lengkap dan tidak diterima

- wang deposit boleh dibayar secara tunai atau bank deraf kepada PP semasa menyerahkan Kertas Penamaan atau membayar deposit tersebut di Pejabat Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan dan pastikan menerima resit bayaran deposit itu untuk dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon kepada PP


26. Calon dikehendaki memberi perhatian berat terhadap cara mengisi Kertas Penamaan Calon

Rujuk cara mengisi borang-borang di http://boranginfolegalpru.blogspot.com/2013/03/borang-berkaitan-proses-pru.html

27. Pembetulan Kertas Penamaan Calon

- PP mempunyai kuasa untuk menyemak Kertas Penamaan Calon antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi dan menasihati Calon atau wakilnya untuk membuat pembetulan sekiranya terdapat kesilapan

- Pembetulan tidak dibenarkan selepas jam 10.00 pagi

- Pembetulan dibenarkan dibuat di hadapan PP di Pusat Penamaan Calon sahaja dan tidak dibenarkan untuk membawa keluar Kertas Penamaan Calon dari Pusat Penamaan Calon


28. Penarikan Kertas Penamaan Calon sebelum Penamaan Calon ditutup

- Bakal Calon yang ingin menarik balik pencalonannya selepas menyerahkan Kertas Penamaan boleh berbuat demikian pada bila-bila masa sebelum jam 10.00 pagi pada Hari Penamaan Calon dan wang deposit akan dikembalikan

- Bakal Calon yang ingin menarik balik penamaannya diwajibkan mengemukakan sendiri permohonan berkenaan kepada PP


29. Pemeriksaan oleh PP terhadap Kertas Penamaan Calon

- Selepas jam 10.00 pagi PP akan memeriksa Kertas Penamaan untuk menentukan kelayakan Calon

29. Keputusan terhadap Kelayakan Calon

- PP akan meneliti setiap kelayakan Calon dan memutuskan sama ada pencalonan sah atau ditolak
- Keputusan PP adalah muktamad
- Sesiapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan PP boleh kemukakan Petisyen Pilihan Raya selepas keputusan Pilihan Raya berkenaan diwartakan - Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan



Wednesday, 13 March 2013

Kempen Pilihanraya - Apa yang perlu anda tahu

Kempen Pilihanraya - Apa yang perlu anda tahu



Bentuk Kempen : penyebaran bahan-bahan bercetak seperti poster, risalah, surat sebaran (handbills), pelekat atau kempen tertutup, memancing undi dari rumah ke rumah.

Undang-undang pilihanraya tidak memperuntukkan sebarang arahan tertentu terhadap bentuk kempen yang dibenarkan. Akan tetapi, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menentukan jenis-jenis hukuman ke atas kesalahan yang dilakukan semasa tempoh kempen.

Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-PKR) akan memantau dan mengambil tindakan ke atas bahan kempen dan ceramah/syarahan yang melanggar AKP semasa tempoh kempen hingga tamat pengundian.

Calon dinasihatkan tidak membuat kenyataan bersifat peribadi dan menjatuhkan maruah Calon lain. Calon, ejen dan penyokong tidak menyentuh soal agama, isu perkauman atau kedudukan bahasa yang bertujuan menimbulkan perasaan permusuhan atau kebencian antara kaum atau masyarakat.

Pengawalan ke atas Pencetakan dan Penerbitan Risalah Pilihan Raya : Calon dinasihatkan agar memberi perhatian terhadap Akta Mesin Cetak 1984 yang melibatkan pencetakan atau penerbitan risalah.


Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
Akta Mesin Cetak (Pindaan) 2012


Contoh Kesalahan :

  • Seksyen 11(1)(c) AKP 1954
    • Mencetak, menerbit, mengedar/tampal iklan, surat khabar, pelekat/poster berkenaan pilihan raya tanpa pada mukanya terdapat nama dan alamat pencetak atau penerbit
  • Seksyen 11(1)(d) AKP 1954
    • Membuat/menerbit pernyataan palsu mengenai watak/kelakuan peribadi calon bagi mempengaruhi supaya calon dipilih
  • Seksyen 11(1)(e) AKP 1954
    • Membuat/menerbit pernyataan palsu mengenai penarikan diri seseorang calon bagi maksud menganjur dan mendapatkan calon dipilih
Hukuman - Seksyen 11(1)

Kesalahan di bawah seksyen 11(1)(a) dan (b) ialah penjara tidak lebih 2 tahun dan denda tidak kurang RM1000 dan tidak lebih RM5000

Kesalahan lain - Penjara tidak lebih 1 tahun dan denda tidak lebih RM2000

Boleh tangkap tanpa waran

Boleh jamin (bailable)

Tidak perlu OTI

Perlu sanksi kecuali kesalahan di bawah seksyen 11(1)(d) dan (e)


Apakah contoh kesalahan lain berkait dengan pengedaran risalah?


Akta Hasutan 1948

  • seksyen 4(1)(c) : mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula apa-apa penerbitan menghasut

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

  • seksyen 11 : dokumen bercetak mengandungi nama pencetak dan penerbit

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954

  • seksyen 4A : kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan


Info Bahan Kempen :



Parlimen bubar?

Parlimen bubar?

Bagaimana proses selepas pembubaran parlimen?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...